Powered By Blogger

Friday 8 July 2011

Wanita Yang Indah


Aduhai wanita... sungguh mahal dirimu di mata lelaki, tetapi mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di mata lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika kau tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri.
Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.
Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang kau galas lebih berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis dengan penuh sabar setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada bahagia di akhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.
Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian yang muncul bederu -deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing yang ingin melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.
Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau kendong.
Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa menantimu.
Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika dihunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada Penciptamu. Peganglah kata kata ini, "Kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".
Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu, biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku. Biar kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat pun kau lupa setianya Masyitah pada Tuhannya, agungnya kasihKhadijah kepada agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.
Jadikan agamamu sebagai tunjang yang memperkasakan akidahmu.Biar kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan imanmu dengan sejuta lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia.

Asalkan Engkau Terus Melangkah...Wahai Sahabatku..


Sahabatku,
Biar ujian seberat gunung,
Walaupun kau jatuh ke lubuk yang dalam,
Terperosok,
Hitam dan seakan-akan tiada cahaya,
Jangan kau mengalah,
Teruslah melangkah.
Teruskan melangkah,
Walaupun ia tidak mudah,
Biar langkahanmu kecil atau tidak gagah,
Ku tahu,
Pasti ia berat dan payah,
Namun itu semua tidak menjadi masalah,
Asalkan kau terus melangkah,
Ya, asalkan kau terus melangkah.
Bangkitlah!
Angkat wajahmu,
Bersihkan kotoran di bajumu,
Buka jendela yang menutupi ruang-ruang hidupmu,
Keluarlah dikau,
Dan lihatlah sinar mentari itu!
Sahabatku,
Teruskan langkahanmu,
Lagi, dan lagi,
Jangan sesekali kau hentikannya,
Ya,
Jangan, dan jangan,
Kerana aku,
Amat-amat kepingin,
Agar dikau dapat sama-sama merasai,
Keindahan hari esok itu.
Teruskan langkahanmu, wahai sahabatku...

Ada Iman Yg Berwarna...............


"Rambut sama hitam tapi hati lain-lain" itulah pepatah orang tua-tua. "Tak tubuh tak melata, tak sungguh orang tak kata". Ya, itulah hakikatnya manusia, walaupun rambut sama hitam tetapi hati dan jiwanya terlalu berbeza.
Ada orang yang mengeluh tuala mandinya hilang. Seharian dibawanya wajah yang berkerut untuk dipamerkan kepada sesiapa sahaja yang ia temui. Ketika mengangkat takbir untuk solat, fikirannya bekerja keras cuba mengingatkan, dimana tualanya. Makanan yang dijamah hilang keenakannya dan bibirnya tidak lagi mampu mengukirkan senyuman.
Ada orang lain pula yang kehilangan seluruh anggota keluarganya. Dalam sekelip mata, kemalangan yang tidak diduga memisahkan selama-lamanya antara dia dan insan-insan yang sangat dikasihinya. Namun ia masih mampu tersenyum. "Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk kita" responnya seolah-olah cuba menenangkan pengunjung yang kesedihan bersimpati.
Ya, rambutnya sama hitam tetapi hatinya berbagai warna. Yang menjadikan kita terlalu berbeza ialah hati kita. Yang kuat atau yang lemah sebenarnya adalah hati kita. Manusia dengan jiwanya yang lemah melihat satu masalah kecil itu terlalu besar hingga mampu mengubah perwatakan dirinya. Ia mula hilang senyuman, sedih, kecewa dan penuh keserabutan sedangkan semalamnya ia seorang yang ceria dan nampak bahagia.
Manusia yang jiwanya kuat melihat masalah yang besar itu kecil sahaja. Ia masih mampu mengukir senyumannya, bahkan senyuman yang paling indah adalah senyuman ketika berdepan kedukaan. Hati sesiapa sahaja akan terasa kagum dan hormat pada ketenangan wajah dan senyuman yang dipamerkan ketika hidup dibebani musibah, kapayahan dan kesedihan. Senyuman ketika keseronokan adalah senyuman murahan yang mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja. Namun senyum dalam kedukaan hanya untuk jiwa-jiwa yang kuat yang memiliki hati yang hidup.
Hati yang hidup adalah hati yang penuh keimanan dan kepasrahan, hati yang penuh keyakinan terhadap Rubbubiyatullah, hati yang melihat Allah sebagai Pemilik kehidupan yang Maha Pengasih dan Maha Bijaksana.  Hati yang mampu menyelami hikmah dalam lubuk musibah, hati yang mampu teguh dalam kegoncangan hidup.
Juga hati yang sentiasa melihat diri dan kehidupan dengan rasa kehambaan lalu tunduk dan pasrah kepada Uluhiyatullah. Iaitu hati yang tunduk dan menyerah segalanya kepada kehendak dan takdir Allah. Hati yang memuji dan mengharap hanya pada Allah, mengadu kelemahan diri hanya padaNya disamping memohon kekuatan dengan penuh rasa tawakkal.
Inilah hati yang hidup. Hati yang penuh kecintaan pada Allah dan cinta pula segala yang dicintai Allah. Kehidupannya umpama sebuah novel cinta, penuh duri dan ranjau namun harapannya tidak pernah padam. Ketika perjalanan begitu membebankan, kerinduannya membuahkan kesabaran. Ketika jiwa terlalu sunyi dan pilu ia melagukan munajat kerinduan hingga ia mampu kembali tersenyum memandang kehidupan dengan harapan dan keazaman. Hatinya tidak mengenal benci melainkan kepada apa yang Allah benci.
Inilah hati yang hidup. Hati yang gementar bila disebutkan nama Allah dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka bertambahlah keimanannya dan kepada Allahlah jiwanya sentiasa berserah dan bertawakal.
Inilah hati para sahabat yang telah disiramkan air keimanan oleh kekasih Allah (Rasulullah SAW). Mereka sentiasa diuji dengan ujian yang begitu berat namun mereka memiliki kesabaran yang luarbiasa. Ada sahabat yang dililit dengan rantai yang panas membara hingga tubuhnya berbuih mengeluarkan lemah dan lemak itu pula yang memadamkan bara api. Ada yang terpaksa hidup kelaparan, ada yang merentasi padang pasir yang kering kontang berseorangan. Namun kita tidak mendengar mereka memanjangkan keluhan atau melagukan kesedihan. Jasad mereka menempuh kehidupan dengan penuh kepayahan dan penyiksaan tetapi hati mereka sentiasa tersenyum bahagia. Ya, mereka tidak memiliki seperti apa yang sedang kita miliki; Keamanan, kemewahan dan kesenangan tetapi mereka memiliki kebahagiaan. Dan kebanyakan kita memiliki segalanya kecuali kebahagiaan, lapang dada, ketenangan dan kesyukuran.
Jadi yang seharusnya kita idamkan hari ini bukanlah sekadar pakaian yang cantik atau rumah bak istana tetapi hati yang hidup yang penuh cinta dan rindu pada Khaliqnya kerana hati yang begini ialah hati yang benar-benar hidup. Hati yang mengalirkan kekuatan ketika hidup kita terlalu membebankan.

Sumber Text: Langit Ilahi
Kongsikan kepada kami produk anda, lokasi perniagaan, dan kehebatan tentang produk anda! Mari daftar di http://direktori.iluvislam.com sekarang! Serendah RM5 Sebulan* Promosi RM50 selama setahun!(Sah sehingga 30 Jun 2011)
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.
(Surah Al-Baiyina 98: Ayat 7) 

ABC & Nama


"Abang, betul tak adik tulis huruf ini?", pinta seorang adik kecil kepada abangnya. Lelaki itu atau abang kepada budak kecil itu, tidak lain tidak bukan diri saya sendiri.
Tersenyum saya ketika melihat tulisan adik saya yang baru memasuki tadika tahun ini, huruf A dan B ditulis secara senget dan terbalik sedikit. Kelakar melihat tulisan a,b,c nya, tapi saya simpan niat hendak tertawa sebaliknya memuji adik saya.
Abang borek, adik pun rintik, mungkin sesuai saya gunakan disini, apabila suatu masa dahulu saya sendiri melakukan kesilapan itu. Lebih teruk, habis dinding rumah saya conteng dengan huruf A terbalik kerana kemaruk hendak menulis A,B,C. Hasilnya saya dapat 'C' dari ibu ataupun cubit.
Itulah diri kita sewaktu masa dulu, belajar tulis dan baca dari seawal usia dimulakan dengan A,B,C atau alif, ba, ta. Pemahaman kita tentang perkataan dan formula yang susah pada hari ini, tidak mungkin berlaku tanpa mempelajari asas bahasa ini.
Perkataan fatamorgana, implisit, intelegensia dan meritokrasi misalannya, pasti terbelit lidah tatkala hendak menyebutnya apatah lagi mengejanya, tapi kerana kita ada asas ini, tiada masalah bagi kita. Terkadang diri kita tatkala diri ini sudah diremang usia kedewasaan ini terlupa mempraktikan asas a,b,c untuk mencapai motivasi unggul dalam diri kita.
Sebut sahaja A,B,C mungkin ramai diantara kita terfikirkan ABC - Air Batu Campur. Memang enak makanan ini dan memang mudah menyebut huruf ABC itu, tetapi realitinya ada motivasi  disebaliknyai.
Terfikirnya saya akan ungkapan ini, tatkala manusia hari ini tidak menghargai nama mereka sendiri. Nama yang diberi ibu bapa langsung tidak dihargai, sebaliknya dimain-mainkan dan diubah mengikut citarasa sendiri. Mereka inilah golongan yang alpa tentang motivasi a,b,c dalam diri mereka.
Mengikut Islam, nama itu adalah suatu doa. Panggilan yang baik terhadap seseorang itu, apabila diucapkan oleh orang lain terhadap diri kita merupakan suatu doa.
Malahan mengetahui  maksud nama dan pengertian sesuatu nama itu besar manfaatnya. Hal ini demikian kerana nama adalah suatu amanah yang harus dipikul sepanjang hayat kita. Kemana mana kita pergi, baik dan buruk kita dikenali kerana nama kita. Pepatah melayu pernah menyebut harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Islam sendiri menitikberatkan perkara ini. Islam menganjurkan para ibu bapa memilih nama yang baik untuk anak mereka. Nama-nama iblis, nama-nama berhala seperti Latta, Uzza dan banyak lagi harus dijauhi kerana akan mempengaruhi keperibadian anak itu apabila dia menigkat dewasa kelak.
Nama itu doa, nama itu amanah kerana ianya merupakan doa dari seorang ibu dan ayah terhadap anaknya untuk membawa nama itu. Misalannya diberikan nama seseorang Abdul Hakim, diharapkan anak itu menjadi bijaksana seperti mana maksud yand dibawa oleh nama itu. Nama itu identiti diri, dan nama itu jugalah motivasi paling bererti untuk diri ini.
Mengetahui maksud sahaja tidak cukup untuk memaksimumkan potensi diri. Ianya harus dilengkapi dengan perasaan bangga dan sayang terhadap nama itu. Perasaan sayang dan bangga membuat seseorang itu memperjuangkan nama dan amanah yang dibawanya.
Pernahkah terfikir di fikiran kita mengapa ada sesetengah orang berusaha menjadi yang pertama untuk mebuat sesuatu perkara agar nama mereka diingati. Misalannya, yang pertama mendaki gunung Everest, yang pertama mencipta telefon, malahan ada golongan yang berbuat demikian dengan cara mencipta rekod dunia.
Rekod dunia Guiness menyaksikan pertambahan nama kesekian tahun diantara mereka yang ingin mencipta rekod baru. Mengapa mereka semua berbuat begitu? Tidak lain tidak bukan niat memperjuangkan nama mereka. Mereka ingin agar nama mereka yang sangat mereka banggakan untuk diingati oleh orang lain dan dikenali oleh orang lain. Relevan sekali sekiranya diketengahkan disini pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu cara. Tidak perlu memanjat gunung everesat barulah berasa bangga terhadap nama, tidak perlu mencipta rekod baru dan sebagainya. Cukup sekadar anda berbangga dengan nama anda, itu sudah cukup, dan apabila bermula rasa sayang, bangga, saya pasti rasa untuk melakukan perkara-perkara luarbiasa itu akan terbangkit sendiri.
Setiap nama mempunyai susunan abjadnya yang tersendiri, dan mengetahui atau mencipta makna tersendiri abjad-abjad ini akan memberi erti yang besar buat anda. Situasi ini bukan sahaja akan menjadi suatu doa apabila nama anda diucap, malahan anda akan rasa bersemangat, dan seterusnya bertindak mengikut maksud nama itu.
Itulah rahsia abjad A,B,C, apabila anda bijak menggunakannya. Tidak perlu menukar nama seglamour seperti  Joe, Zack, Adam, Sally dan sebagainya untuk rasa diri anda bersemangat. Nama kampung seperti Joyah juga boleh bertukar menjadi api pembakar semangat kepada tuan diri pemegang amanah nama ini sekiranya dia bijak menggunakan abjad dalam namanya.
Sebelum berkata elok berwaspada, takut takut apa-apa yang dikata menjadi dusta.
Saya ambil nama  Talhah sebagai contoh.
T - Tak mungkin aku kalah
A - Aku pantang menyerah kalah
L - Langkahku sentiasa berwibawa
H - Hariku sentiasa bermakna
A - Anganku kan menjadi kenyataan
H - Hidupku dipenuhi kehebatan
Dengan mempunyai maksud ini misalannya, fikiran Talhah terbayangkan maksud ini setiap kali kawan memanggil namanya, dan merupakan suatu doa dari mereka untuk dirinya. Cubalah bina akronim anda sendiri dan lihat perbezaannya tatkala anda dipanggil.
Berikut adalah ABC yang telah saya sediakan sebagai contoh untuk anda lihat dan sesuaikan dengan nama anda:
A - Allah sentiasa memberikan yang terbaik buatku
B - Baik atau buruk sesuatu itu pasti ada hikmahnya
C - Carilah kebahagiaan hakiki sebelum mati menjemput diri
D - Dunia ini ujian sementara untuk semua
E - Elakkanlah diriku dari kekufuran dan kelalaian
F - Falah(kejayaan) pasti milikku
G - Gagal bukan penghujung buat diriku
H - Hatiku bersih dari dengki dan maksiat
I - Ikhlaslah aku dalam berbuat sesuatu
J - Jalan yang ku pilih ialah jalan yang benar
K - Kerana ALLAH aku hidup dan berjaya
L - Laluan berliku sekalipun akan ku tempuhi
M - Mati itu pasti dan aku tidak takut akannya
N - Nekad aku dalam berbuat sesuatu yang benar
O - Orang yang berilmu dan bertakwa itu kawanku
P - Pandanglah aku kerana kebaikan bukan kerana keburukan
Q - Quran peganganku sepanjang hayat
R - Rapatkanlah diriku dengan tuhanku
S - Sesalnya diriku jikalau aku lalai
T - Tak mungkin aku kalah
U - Untungnya menjadi diriku sendiri
V - Vaksin segala kesusahan ialah sabar
W - Walaupun aku kecil, aku boleh berjaya
Y - Yang memilih untuk berjaya atau gagal ialah aku
Z - Zahirku sentiasa hebat dan bagus
Pokok pangkalnya binalah akronim untuk diri sendiri dari a,b,c  sebagai motivasi untuk diri anda.
Seperti abc yang anda gemari, letakkanlah adunan yang sesuai dan secukupnya supaya akronim yang dibina sesuai dengan anda.
Sekiranya ada mempunyai minat yang mendalam tentang kejuruteraan letakkanlah perasa kejuruteraan kepada abc anda, dengan sirap, kacang jagung secukupnya. Perumpamaannya seperti itu.
Bukankah menyukai sesuaatu pekerjaan itu menguntungkan kita, dan begitulah dengan menyukai nama kita.
Berbanggalah dengannya. Bukan sahaja sebagai amanah terakhir darpada ibu baa panda untuk memperjuangnnya tapi juga sebagai sesuatu milik anda yang harus pegang dan jaga.
Saya pasti anda pernah menonton cerita nujum pak belalang arahan Tan Sri P Ramlee.
Di penghujung cerita, ahli nujum Negara Pasai telah bertanya kepada Pak Belalang beberapa soalan, antaranya "Dimana letaknya kekuatan laksamana Hang Tuah, pada kerisnya atau tenaganya?"
Saya sendiri termangu mangu memikirkannya, dan ternyata jawapn mengejutkan saya sendiri. Jawab Pak Belalang, "Kekuatan Hang Tuah bukan pada kerisnya atau tenaganya, tapi pada huruf ta atau t. Mengapa? Kerana jikalau nama Tuah, huruf t di depannya diganti dengan huruf lain misalanya b, apa yang jadi? Jadilah hang buah, dan sebagainya, maka hilanglah keperkasaanya."
Cukup jelas disini dari filem yang sudah berusia 40 tahun itu, bahawa betapa nama itu memberi erti kepada diri. Banggalah dengan nama anda dan perjuangkanlah nama itu.
Nama itu doa dan senjata kepada diri anda.

''Awak,KeNaPa KaHwIn dgn SaYa?'' (Bacalah..Terbaeeekkkk):-)




"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".
Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.
Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang. 
Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..
Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
***
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"
 Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.
Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpaparents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi  Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.
"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,"soalanya kembali dengan lemah lembut.
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?"bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah      sedang dipermainkan.
Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice.I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.
Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.
"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same foreverZahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.
Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!