BUKAN
sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu
terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih
lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT,
malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan
Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan
tingkah lakunya.
Ada beberapa hal
menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai
senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi
apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang
sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya
sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.
Disebabkan itu,
Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan
disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang
penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa
indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,
“Rasulullah SAW
tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.”(Hadis
diriwayatkan Ibnu Hibban)
Seorang lagi sahabat
Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,“Tidak pernah aku melihat
seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.”(Hadis riwayat
At-Tirmizi)
Cucu kesayangan
Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah
mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,
“Aku bertanya kepada
ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang
bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi
pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka
berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak
disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang
memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”
Rasulullah SAW
walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang
yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan
bahawa Saiditina Aisyah berkata:
“Ada seorang lelaki
yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat
orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara
dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda
memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang
itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai
Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini
dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya
dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai
Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”
Imam al-Khataby
ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan
ilmu”. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak
disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian
orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda
adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang
terhadap umatnya.
Kerana Baginda sudah
dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda
memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang
tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan
Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka
boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.Begitu indah akhlak Rasulullah
SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman
dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku
bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah
kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan
senyuman kepada orang ramai.Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti
perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit.
Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan
Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy
bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut
undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).
Mereka bertanyakan
kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita
itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi
Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta
pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:“Jadi kamu ingin
memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?”
Setelah mengucapkan
ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:“Wahai manusia! Sesungguhnya yang
menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada
orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati
orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman
kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku
akan memotong tangannya”.
Oleh itu, marilah
kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada
masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah
mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan
sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya
agama tidak diperkotak-katikkan.
*Senyum itu sedekah*
kalau tak mampu nk bersedekah kat tabung masjid, senyum pun jadik ler. Hehehehe…J