Kepada anda semua yang bergelar wanita muslimah,
Jujur dari hati kalian, apakah sebenarnya nilai dan erti sehelai tudung yang berada di kepala anda sekarang ini? Adakah sekadar mengikut trend atau anda benar-benar ikhlas untuk melaksanakan hukum Allah?
Dunia ni pelik, ramai yang bertudung namun cara berpakaian masih tidak mengikut hukum syara'. Ada yang bertudung litup tetapi memakai kain terbelah. Jika di universiti dahulu saya dan rakan-rakan memanggil pakaian sedemikian sebagai pakaian halal haram. Kenapa? Ini kerana kami melihat setiap kali si pemakai melangkah pasti akan terlihat sebentuk kaki hingga ke paras peha dan sekiranya si pemakai berdiri tegak, kaki yang tadinya kelihatan sudah tidak kelihatan kerana tertutup disebalik kain belah.
Tidak kurang juga, ada yang memakai tudung tetapi memakai baju lengan pendek, baju ketat, baju jarang, kain pendek dan macam-macam lagi trend yang sungguh 'unik'. Unikkah? Atau...
Yang lebih menghairankan lagi, wujud pula program-program ala ratu cantik untuk wanita bertudung. Objektifnya mungkin bagus kerana hendak membuktikan bahawa wanita bertudung (muslimah) juga setanding dengan wanita-wanita lain dari segi personaliti akan tetapi adakah program-program tersebut dibenarkan dalam Islam?
Jika diteliti, program-program tersebut tidak banyak bezanya dengan program ratu cantik yang lain, cuma tidak ada slot bikini. Isi utama penganjurannya masih lagi berkisar tentang fesyen dan lifestyle peserta-peserta.
Fesyen yang ditonjolkan pula kebanyakannya tidak menepati konsep menutup aurat yang sebenar. Pemakaian tudung yang singkat, baju yang jarang dan mengikut potongan badan dipertontonkan kepada umum sedangkan kecantikan seseorang wanita wajib dipelihara bukan di pertontonkan kepada mata-mata ajnabi.
Islam turut mengajar kita untuk bersederhana. Tidakkah pertandingan-pertandingan sebegini hanya akan mengundang riak di hati para peserta?. Riak kerana mungkin ada antara peserta yang merasakan diri mereka terlalu cantik, popular, dikenali ramai dan ayu berbanding wanita-wanita lain yang tidak menyertai pertandingan sebegitu. Walhal mereka tidak sedar bahawa diri mereka sedang diobjekkan oleh manusia-manusia yang tamakkan keuntungan. Jadi, betulkah mereka ini benar-benar cantik?
Bertudung itu bererti kita sudah memilih untuk mengikut tuntutan Allah S.W.T iaitu menutup aurat. Apa realistiknya Islam menyuruh wanita menutup aurat? Sudah tentulah kerana Islam menjaga martabat wanita agar sentiasa dipandang tinggi dan mulia. Jika anda diberikan pilihan, memilih antara dua makanan yang sama namun salah satu daripadanya terdedah tanpa penutup dan satu lagi elok bertutup yang mana satu agaknya yang akan anda pilih? Saya pasti anda akan memilih yang berpenutup bukan? Begitu lah juga dengan wanita. Antara yang terdedah auratnya dan yang tertutup auratnya sudah pasti lelaki yang soleh akan bijak menilai permata disebalik kaca-kaca.
Disebabkan inilah, Islam tidak membenarkan wanita diobjekkan. Islam mahu wanita berada setaraf dengan lelaki dari segi kualiti kehidupan tanpa perlu berpakaian seksi, namun tidak perlu pula menyerupai lelaki. Tidak salah untuk berpakaian cantik, dan berpesonaliti menarik, kerana itulah fitrah seorang wanita tetapi jangan jadikan keinginan mengatasi batasan syariat yang ditetapkan.
Kenapa saya katakan wanita sekarang diobjekkan? Baiklah, sekarang ini kita dapat lihat kehebatan seseorang lelaki itu dinilai bukan pada rupanya dan akhlaknya semata-mata, tetapi pada kejayaannya, pangkatnya dan hartanya. Namun, berbeza pula dengan wanita. Kehebatan wanita kerap kali dinilai melalui kecantikannya, rupa parasnya dan penampilannya. Realitinya kalau seseorang wanita itu tidak cantik, gemuk, tidak cerah dan sebagainya, wanita tersebut akan lebih tersisih dan tidak menjadi pilihan majoriti lelaki di luar sana.
Tidak percaya pada statement ini? cuba fikir kenapa ada perempuan yg sangat cantik sanggup berkahwin dengan lelaki sangat tua dan tidak ada rupa pula tu tetapi kaya raya? Dan, kenapa pula lelaki yang sudah punya isteri yang cukup baik, cantik, taat, tapi masih hendak berkahwin lain kerana perempuan tersebut lagi cantik dan muda? Fikir..fikir..
Secara analogi, jika suatu objek itu tidak cantik, dan tidak pula menguntungkan, adakah kita mahu memilikinya? Inilah yang saya maksudkan bahawa rata-rata wanita kini telah diobjekkan kerana jika wanita itu tidak cantik, maka dia akan dianggap tidak ada nilai dimata masyarakat secara puratanya, walaupun dalam diri wanita itu masih banyak nilai-nilai murni yg lain. Disinilah terlihatnya keadilan Islam kerana Islam tidak memandang wanita pada aspek kecantikannya sahaja, tetapi Islam melihat wanita berdasarkan akhlaknya, imannya dan budi pekertinya?
Saudari-saudari sekalian, jika anda fikir anda cantik sesungguhnya masih ramai lagi wanita diluar sana yang lebih cantik daripada anda ditempat lain seperti timur tengah dan sebagainya. Ada antara mereka yang memiliki mata pelbagai warna, hidung yang lebih mancung, kulit yang lebih putih mulus, malah jika kita sendiri melihat kecantikan mereka pasti kita akan menganggap mereka itu jelmaan bidadari, tetapi mengapa ada antara mereka itu memilih untuk tidak mempertontonkan kecantikannya pada umum malah ada yang turut memakai purdah untuk mengelak fitnah?
Jika mereka yang secantik itu pun boleh memilih untuk tidak menjadi objek kenikmatan mata-mata lelaki ajnabi, mengapa tidak kita?
Saya tidak memaksa anda untuk sentiasa berjubah, berpurdah dan berniqab. Cukuplah sekiranya anda meletakkan nilai harga diri anda pada sehelai tudung dikepala anda. Maksudnya, anda tidak menutup kepala anda hanya kerana trend atau sekadar syarat semata-mata.
Dunia ini sementara. Di syurga nanti kita akan menjadi sangat cantik, secantik bidadari. Semua yang didalam syurga itu akan memuji kita buat selama-lamanya. Tetapi sebelum itu, kita harus menjaga maruah dan martabat kita di dunia. Fikirkanlah wahai wanita-wanita, kecantikan rupa parasmu adalah hak suamimu yang bertungkus-lumus menjaga dan mencintaimu sahaja. Bagi lelaki pula, kesetiaanmu adalah milik isteri yang sepanjang masa mentaati dan mencintaimu, bukan untuk wanita-wanita yang tiada sebarang ikatan denganmu. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment